Baru sebentar tadi diumumkan pemenang bagi pertandingan pentomen untuk Minggu Usuluddin Dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam. Kali ini nasib menyebelahi kami apabila dinobatkan sebagai juara pentomen bagi tahun ini. Memang mengejutkan kerana kali ini pelajar tahun satu menjuarai pentomen. Selalunya abang-abang senior yang akan mengungguli pertandingan ini.
Namun disebalik kemenangan ini sebenarnya tersimpan seribu rahsia dan pengajaran yang Allah turunkan kepada kami yang mana harus kami gali dan ambil sebagai bekal dalam meneruskan kembara ilmu di UKM ini. Sepanjang kronologi kejuaraan kami ini memang diisi dengan penuh mehnah dan ujian dari Allah, masalah yang dihadapi antaranya yang pertama komitmen dari sahabat-sahabat, pandangan dan idea yang tidak tetap malah hingga ke saat yang akhir sekalipun. Namun Allah S.W.T sebenarnya ingin mendidik kami melalui halangan tersebut akan pentingnya suatu perkara iaitu wahdah dan kesatuan dalam perjuangan agar mendapat kemenangan.
Ya..kami akur pada mulanya, kami memang tidak mampu dan tidak dapat untuk mencari titik persefahaman dan malah hamper-hampir untuk putus asa dalam menjayakan perkara ini. Namun benarlah kata Allah S.W.T. pertolongan itu terkandung dalam kesabaran lalu kami yakin dan bersabar, setiap masalah kami hadapi dengan tenang dan rasional dalam mencari penyelesaiannya, bantuan dan ‘support’ dari para sahabat semua termasuk yang senior juga amat bermakna bagi kami dalam merintis jalan merungkai masalah yang dihadapi.
Kami amat menghargai semua itu, selayaknya ribuan terima kasih diucapkan kepada semua yang membantu kami sepanjang latihan ini. Antara masalah yang kami hadapi juga adalah mencari tempat yang sesuai untuk berlakon, kami berpindah dari tempat ke satu tempat yang lain, dari dewan kuliah ke dewan kuliah, akhirnya kami tersadai di tempat yang mana mungkin orang memikir tempat itu boleh dijadikan sebagai tempat latihan, kami memilih lobi pejabat bendahari di bangunan canselori UKM sebagai tempat latihan. Disitu kami perah segala kudrat dan berkorban segala masa yang ada.
Bagi sahabat yang juga mempunyai komitmen lain tidak kurang pengorbanan yang mereka berikan seperti ulang alik, bekejar kesana dan kemari semata-mata ingin menjayakan pentomen ini. Mengingati pengorbanan dan kesusahan ini, kami menjadi sangat menghargai waktu itu dan kemenangan yang diberikan ini. Benarlah kata-kata hikmah dari seorang ilmuwan turki yang katanya bermaksud “Sesiapa yang tidak pernah merasai sakitnya panasnya bahang matahari, pasti tidak mampu menghargai nikmatnya tempat berteduh.” Ya..Kesusahan itu terasa nikmatnya apabila berjaya.
Dalam kemenangan itu sememangnya mengandungi nikmat, namun dalam kemenangan juga terkandung ibrah yang lebih besar dari nikmat itu iaitu wahdah dan kesatuan yang dibina oleh kami pelajar tahun satu ini yang membawa kami kepada kejayaan harus diperkukuhkan dan jangan kerana kemenangan ianya kembali menjadi longgar sehinggakan melemahkan kita lalu menjauhkan kita dari kejayaan yang seterusnya. Bagaimana kemenangan itu boleh melalaikan lalu menjauhkan kita dari kemenangan? Lihat sahaja ibrah dari kisah perang Uhud, kerana terlalu yakin akan kemenangan maka akhirnya mereka lalai dan ini membawa kepada keruntuhan dalam kesatuan lalu menghumban tentera muslimin waktu itu kepada kekalahan. Begitu juga halnya yang akan terjadi sekiranya kita mengabaikan kesatuan yakni wahdah yang telah terbina ini. Pastinya kita tidak mahu menjadi seperti itu. Maka seharusnya kita mengukuhkan lagi kesatuan ini dengan mengambil pengajaran yang terdapat dalam dari kemenangan yang kita perolehi ini…Wallahua’lam..
No comments:
Post a Comment